PENGENALAN


Sejak abad ke- 18M, institusi pengajian pondok di Kelantan telah memainkan peranan yang sangat penting dalam mengembangkan pelbagai  bidang ilmu Islam. Sehingga kini, terdapat beberapa buah pusat pengajian pondok yang masih aktif  di seluruh Kelantan dan terbarunya ialah Madrasah al-Badriah yang terletak di kampung Jal Besar, Tumpat iaitu kira-kira 12 km dari Bandar Tumpat. Ia telah diasaskan pada tahun 2006 oleh al-Fadhil Ustaz Saifulbaharin B Che Ali sebagai satu usaha untuk mengembangkan ilmu-ilmu yang bermanfaat melalui pengajaran kitab-kitab turath yang mu’tabar.

    Penubuhan Madrasah al-Badriah ini sebenarnya, bermula apabila beberapa ahli keluarga Hj. Wan Min mempelawa al-Fadhil Ustaz supaya menghidupkan kembali pengajaran di pondok Hj. Wan Min Jal Besar. Peluang yang baik ini telah digunakan oleh beliau dengan menjadikan sebuah madrasah kayu peninggalan Hj. Wan Min yang berukuran 30 x 30 kaki  sebagai tempat mengajar, manakala para pelajarnya pula menumpang di beberapa buah pondok usang yang berhampiran dengannya. Oleh itu, boleh dikatakan bahawa penubuhan Madrasah al-Badriah ini merupakan kesinambungan pengajaran yang telah dilakukan oleh Allahyarham Tuan Guru Haji Wan Min Jal Besar dan anaknya Allahyarham Hj. Wan Muhammad.
      Pada permulaannya, pengajian  kitab telah diikuti oleh beberapa orang pelajar yang memang sudah mengenali al-Fadhil Ustaz. Setelah 6 tahun menumpang di surau Hj. Wan Min dan memandangkan bilangan pelajarnya pula semakin bertambah, maka pada tahun 2011, al-Fadhil Ustaz telah membeli sebidang tanah seluas 362 depa bagi membangunkan sebuah perkampusan pondoknya yang tersendiri.  Walaupun lokasi tanah tersebut berada di luar tapak pondok lama namun jaraknya hanyalah 200 meter dikira dari surau Hj. Wan Min.  
Sebagai langkah awal, pada penghujung tahun 2011, sebanyak 12 buah pondok dua tingkat telah dibina secara sukarela dan mula didiami oleh pelajar pada bulan Julai 2012. Memandangkan perkampusan pondok ini tidak mempunyai madrasah lagi, maka al-Fadhil Ustaz telah menjadikan ruang tingkat bawah rumahnya sebagai tempat mengajar untuk sementara waktu.                  Walaubagaimanapun, ruang tingkat  bawah ini dapat menampung seramai 20 orang pelajar sahaja. Selain keperluan madrasah, perkampusan ini juga memerlukan sebuah bangunan pejabat bagi memudahkan segala urusan pentadbiran pondok pada masa akan datang. Manakala kelengkapan-kelengkapan lain seperti penambahbaikan tandas, pagar, pintu gerbang, pasir tambun dan lain-lain lagi adalah diperlukan juga bagi menjadikan Madrasah al-Badriah sebuah pusat pengajian yang selamat dan selesa bagi para penuntutnya.
Dengan ini, untuk merealisasikan kesempurnaan kemudahan-kemudahan tersebut,  ia memerlukan suatu dana kewangan yang besar dan hasrat ini tidak akan tercapai dengan sempurna melainkan dengan sumbangan dari pihak tuan/puan ke tabung atau akaun Madrasah al-Badriah. Insyallah.

                                                     KAMI PIHAK PONDOK JAL MENJEMPUT SEMUA KEPADA SESIAPA YANG INGIN MENGIKUTI PERARAKKAN...